Denda RM1,000 Jika Gagal Guna Bahasa Melayu Di Papan Iklan Dengan Betul

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Kabinet hari Rabu bersetuju supaya mereka yang gagal menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul di papan iklan akan didenda RM1,000. Denda itu bagaimanapun hanya akan dikuatkuasakan selepas Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dipinda oleh pejabat Peguam Negara dan diluluskan di Parlimen dengan secepat mungkin, kata Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Katanya bagaimanapun denda itu akan hanya dikenakan selepas pihak terbabit gagal membuat pembetulan setelah teguran dibuat oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Keputusan itu dibuat oleh mesyuarat jemaah menteri hari Rabu berdasarkan memorandum bersama antara kementerian itu dan Kementerian Pelajaran berkaitan dengan langkah dan usaha memperkasakan bahasa kebangsaan, katanya pada sidang berita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementerian itu di sini.

Rais berkata kedua-dua kementerian itu akan mempergiatkan usaha memperkasakan bahasa kebangsaan di mana Kementerian Pelajaran melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) buat pertama kalinya diberikan kuasa untuk mengambil tindakan sedemikian.

Sementara, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pula akan menasihatkan kerajaan dan badan bukan kerajaan yang ada kaitan dengan kerajaan supaya semua mesyuarat rasmi mereka dibuat dalam bahasa kebangsaan, kata Rais. "Kita juga akan meminta supaya setiap majlis rasmi sama ada kerajaan mahupun swasta dibuat dalam bahasa kebangsaan. Bahasa Inggeris masih boleh digunakan tetapi hanya selepas pengunaan bahasa kebangsaan," katanya.

Rais berkata sementara itu, beberapa nama umum yang mengandungi bahasa Inggeris seperti MyKad dan Touch N Go sedang dikaji untuk ditukar kepada bahasa kebangsaan. Malahan, kementerian itu juga sedang bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya untuk mencari perkataan yang sesuai bagi menggantikan nama "Presinct" dan "Boulevard" yang digunakan secara meluas di pusat pentadbiran negara di Putrajaya, katanya.

Katanya kementerian hari ini juga memohon daripada Kabinet peruntukan RM20 juta setahun bagi menjayakan program tajaan kementerian, Kementerian Pelajaran dan kerajaan negeri bagi memupuk minat dan melatih golongan belia dan remaja untuk mengenali tarian, muzik dan seni budaya.-- BERNAMA